Wednesday, July 2, 2014

Haruman MEMPENGARUHI emosi


Benar kata orang malah diakui secara psikologi, daripada lima deria utama pada tubuh badan kita, deria bau paling menyerlah apabila membabitkan ingatan kepada seseorang.
Bau juga dikatakan dapat memperbaiki emosi, meningkatkan kecerdasan mental serta memulihkan tenaga yang lemah. Diri yang mula longlai pasti segera bangkit tatkala terhidu wangian yang menyenangkan.


Andai perspektif fesyen diambil kira, Christian Dior pernah mengatakan haruman dipakai seseorang wanita mampu menceritakan secara kasar mengenai dirinya berbanding jika dilihat pada tulisan tangannya. Malah, tidak lengkap penampilan wanita tanpa mengenakan pewangi sehingga ia diangkat satu aspek penting ketika merias diri.

Secara amnya, bauan yang lembut, sensual dan elegan selalu menjadi pilihan utama kerana harumannya tidak begitu keras atau menonjol. Jelas Pengarah Wangian Harumanlily, Lili Nordin, bauan adalah deria paling hampir dikaitkan dengan pusat emosi otak dan boleh dimanfaatkan untuk mencetuskan tindak balas emosi yang kuat.

“Bauan boleh mengubah dan mempengaruhi mood atau perasaan serta tingkah laku kita. Apabila terhidu bauan busuk, kita segera menjauhkan diri dan rasa jijik, tapi sebaliknya berlaku jika bauan itu menyenangkan. Justeru itu, haruman dicipta bukan saja untuk mencetuskan bauan wangi pada tubuh si pemakai tapi turut membantu memperbaiki emosi seseorang,” katanya.

Harumanlily, haruman yang dihasilkan dengan diinspirasikan wangian luar negara yang telah mendapat Pengesahan Halal Jakim. Ia boleh digunakan untuk bersolat, riadah, ruang pejabat, kedai makan, spa dan banyak lagi. Bukan saja menghasilkan wangian popular malah mengenal pasti beberapa haruman yang menjadi pilihan wanita khususnya di Asia.

“Haruman flora hijau dan flora buah-buahan menjadi profil haruman pilihan Harumanlily manakala wanita Asia terarah kepada kategori flora oriental, berempah, kayu-kayan, sitrus dan jambangan bunga. Ia dikenal pasti selepas mengambil kira faktor cuaca, kewangan dan gaya hidup wanita ini, di samping pengaruh dari Barat yang mencorakkan lagi polar haruman pilihan wanita Asia. Bagaimanapun secara asasnya, wanita Asia lebih menggemari haruman yang lembut dan ringan sifatnya berbanding wanita yang tinggal di benua lain,” ujarnya.

Sejak era 1970-an, haruman diklasifikasi dalam beberapa kategori yang lazimnya mengikut peredaran trend ketika itu. Zaman 1990-an menyaksikan industri minyak wangi berkembang pesat dengan kemunculan haruman bersifat ‘edgy’ sebagai tanda budaya memberontak golongan mudanya waktu itu.

Penggunaan bahan lebih asli dan mewah pula diperkenalkan sekitar 2000, di mana industri minyak wangi cuba memperkenalkan konsep kehidupan gembira, selain usaha meneroka seksualiti diri.

Trend haruman 2013 bagaimanapun kembali kepada tema klasik iaitu aura feminin ditiupkan semula dalam haruman mewah flora manakala bauan maskulin banyak menjurus kepada gabungan rempah dan kayu-kayan.

Tahap kesedaran dan kemampuan ekonomi generasi kini turut dikenal pasti menyumbang kepada kepesatan tabiat menyembur haruman setiap hari.

“Minyak wangi tidak lagi dianggap benda mewah, tapi mula menjadi salah satu produk penjagaan diri utama setiap hari. Budaya memberi hadiah haruman itu masih kental dalam masyarakat dunia tapi sesiapa pun kini boleh membeli minyak wangi mengikut cita rasa dan kemampuan mereka,” katanya.

“Tiada tip khusus dalam membeli haruman. Tidak seperti kasut, minyak wangi boleh dibeli pada waktu pagi, petang atau malam dan bauannya masih sama. Cuma digalakkan membeli atau memilih haruman pada waktu pagi kerana ketika itu deria bau kita belum lagi dicemari dan dipenuhi bauan lain. Ini membolehkan kita menikmati semua tiga nota lapisan bau pada haruman itu dan secara tidak langsung dapat memberi tambah nilai pada minyak wangi terbabit,” tegasnya.